Rezeki tidak menentu
Oleh MOHD FIRDAUS SAHAT, MUHAMAD RAZIS ISMAIL dan MOHD NOR ASRI YAACOB
metahad@hmetro.com.my
metahad@hmetro.com.my
ALA KADAR...makan tengah hari berlaukkan hasil tangkapan.
Rezeki yang dicari tidak menentu. Bertarung nyawa di lautan demi mencari sesuap nasi namun jarang memberikan habuan besar kepada nelayan kecil ini.
Keadaan cuaca, kekurangan peralatan menangkap ikan, faktor kesihatan dan gangguan pelbagai bot besar yang menangkap ikan di kawasan pantai sedikit sebanyak menambah beban untuk mereka mencari rezeki.
“Macam inilah hidup sebagai nelayan. Jarang saya mendapat tangkapan besar.
Kebiasaannya hasil tangkapan menjadi santapan kami anak-beranak,” kata Mohd Iqbal Ismail, 48.
“Kami tidak sama. Jika nelayan laut dalam, kelengkapan mereka banyak dan berteknologi tinggi selain mempunyai bot besar untuk mencari ikan di tengah laut.
“Bagi kami pula, bot kecil dan pukat yang tidak seberapa serta terpaksa akur dengan pergerakan cuaca sedikit sebanyak membataskan rezeki diperoleh,” katanya.
Penulis yang berkesempatan menjadi ‘anak angkat’ dan turun ke laut bersama Iqbal turut merasai apa diperkatakannya. Hari pertama bersamanya menangkap ikan, bot kecil jenis fiber yang kami naiki dilambung ombak besar dek cuaca buruk.
Kerana laut bergelora, Iqbal membatalkan niat untuk meneruskan tangkapan walaupun ketika itu hanya dua ekor ikan diperoleh.
Menurutnya, bukan dia saja yang membatalkan aktiviti menangkap ikan, malah kebanyakan nelayan kecil pasti akur dengan keadaan cuaca terbabit.
Buktinya, berpuluh bot kecil yang sinonim dengan nelayan pesisir pantai kelihatan berduyun pulang ke jeti kampung berkenaan.
Hari kedua, penulis sekali lagi mengikut Iqbal ke laut. Kami berangkat seawal jam 4 pagi. Namun, meskipun cuaca elok, nasib pada hari itu masih tidak menyebelahi kami.
Sepanjang lapan jam beradu nasib di lautan, kami hanya mampu menangkap lima ekor ikan pelbagai jenis.
“Tangkapan sebanyak ini mana boleh dijual kepada peraih. Sudahlah kuantiti sedikit, jika dijual juga, hanya dapat beberapa ringgit. Nak tak nak, inilah lauk kita hari ini,” katanya.
Kepayahan sepanjang hari di lautan seakan-akan tidak terbalas. Namun daripada riak wajah Iqbal, tiada apa perlu dikesalkan. Rezeki seperti itu seakan-akan lali dengannya, lebih-lebih lagi sejak 20 tahun menjadi nelayan.
“Keadaan seperti ini pernah berlanjutan sehingga dua tiga minggu. Sampaikan tiada tangkapan untuk dijual kepada peraih. Bila jadi macam ini, saya tidak berduit untuk membeli minyak diesel untuk ke laut atau membeli makanan. Nak tak nak, perlu berhutang dengan rakan atau saudara,” katanya.
Rezeki tidak menentu seperti itu tidak berlaku terhadap Mohd Iqbal saja, malah boleh dikatakan menghantui hampir keseluruhan nelayan pesisir pantai di Pantai Timur.
Kampung Kemayang misalnya mempunyai hampir 400 keluarga yang majoritinya bekerja sebagai nelayan pesisir pantai. Rata-rata turut dibelenggu masalah sama dan kebanyakannya hidup di bawah garis kemiskinan.
Menurutnya, rezeki sebagai nelayan pesisir pantai sekadar cukup makan, malah memang payah untuk mendapatkan pulangan lumayan iaitu RM40 hingga RM50 sehari.
“Itu adalah jumlah yang biasa diperoleh jika rezeki pada hari itu sangat baik.
Namun, bukan hari-hari boleh dapat pulangan sebanyak itu. Jika musim tengkujuh, nelayan kecil seperti saya tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.
“Pernah beberapa kali, saya mendapat tangkapan bernilai RM100 hingga RM150.
Namun dalam sebulan, sekali pun payah. Jika dapat, ia benar-benar rezeki dan boleh dikira sangat bernasib baik,” katanya.
Selain keadaan cuaca, faktor kemiskinan yang menghantui hidup dan gangguan bot pukat tunda yang menangkap ikan di kawasan pesisir pantai turut mengganggu aktiviti dan rezeki mereka sebagai nelayan kecil.
“Pukat selalu rosak. Enjin sangkut yang disewa bersama bot juga sering rosak.
Mahu beli baru, kosnya tinggi. Mahu atau tidak, perlu menyewa daripada pemilik bot lain. Mengikut perjanjian, jika tiada wang untuk membayar sewa, hasil tangkapan perlu dikongsi dengan pemilik bot terbabit sebagai bayaran sewa.
“Namun, bukan hari-hari saya dapat tangkapan yang banyak. Jika tiada tangkapan atau tangkapan terlalu sedikit, saya tidak dapat membayar ‘sewa’ itu.
“Selain itu, gangguan bot pukat tunda yang memasuki kawasan pesisir pantai menjadi faktor mengapa nelayan kecil seperti saya kurang mendapat tangkapan.
“Walaupun berpuluh aduan dilakukan, mereka masih galak dan bebas menjalankan aktiviti terbabit dan kesannya, nelayan kecil seperti saya yang merana,” katanya.
Sebagai nelayan, Iqbal tidak terlepas mengalami pengalaman menakutkan di tengah laut.
“Pernah saya keluar ke laut seawal jam 4 pagi. Sehingga jam 11 pagi, tidak ada
seekor ikan pun sangkut pada pukat. Namun, saya tidak mahu berputus asa dan meneruskan aktiviti menangkap ikan.
“Sedar-sedar, jam menunjukkan 5 petang. Selepas menarik pukat ke dalam bot, saya cuba menghidupkan enjin untuk pulang. Entah kenapa, tiba-tiba enjin rosak tanpa sebab dan saya tidak berupaya pulang,” katanya.
Menurutnya, meskipun aktiviti menangkap ikan oleh nelayan pesisir pantai terhad iaitu sekitar lima batu nautika dari kawasan pantai, namun kerana ombak besar, bot kecil miliknya dihanyutkan ke tengah laut pada hari itu.
“Di tengah laut, talian telefon tidak berfungsi. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat pertolongan adalah dengan meminta bantuan nelayan lain yang berdekatan.
“Begitupun, bila dihanyutkan ombak, saya tidak tahu di mana saya berada ketika itu. Malah, tiada satu bot kelihatan di kiri dan kanan.
“Nak tak nak, terpaksa akur dengan dugaan, bersabar dan menanti hari siang untuk meminta pertolongan nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan