Powered By Blogger

Sabtu, 9 Jun 2012

Bertangas pulih dara?

APAKAH yang dimaksudkan dengan bertangas? Benarkah ia dapat memulihkan dara wanita?
Rina, Johor.
Soalan yang diutarakan amat menarik sekali. Mungkin jawapan yang saya berikan adalah pendapat saya sebagai pengamal perubatan moden. Saya tidaklah ingin menimbulkan apa-apa kontroversi kepada pengamal perubatan tradisional. Saya tidak menyangkal kebaikan perubatan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Alangkah baiknya jika kebaikan ini dapat dibuktikan secara kajian saintifik. Saya yakin sudah tentu pengamal perubatan moden akan mengamalkannya dalam perawatan harian mereka.
Buat masa ini, masih belum ada kajian secara klinikal yang dijalankan dan laporan yang dibuat adalah daripada pengalaman nenek-moyang kita turun-temurun. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada ia boleh memulihkan dara seseorang wanita yang telah melahirkan anak ataupun tidak. Maksud pemuliharaan dara ini juga amat meluas. Saya agak yang dimaksudkan mungkin kemutan faraj yang masih dapat dikekalkan (masih ketat) walaupun telah menjalani proses kelahiran.
Namun begitu, ramai tak pasti untuk apa keperluan bertangas. Saya sendiri kurang mengetahui kebaikan bertangas dan juga tidak pernah mengamalkannya walaupun pernah melahirkan anak lima kali. Jawapan yang saya akan berikan adalah daripada bacaan saya dan juga perbincangan saya bersama pengamal perubatan tradisional.
Mandi wapBertangas ini sebenarnya adalah mandi wap. Bukan terhad kepada wanita sahaja dan juga bukan untuk kaum Melayu sahaja. Bertangas untuk wanita bagus dilakukan setiap kali selepas bersalin dan selepas haid. Mungkin ramai yang sangka ia hanya untuk selepas pantang bersalin, namun sebenarnya bagus untuk setiap kali selepas haid. Bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan. Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj dan rahim.
Rawatan bertangas terdapat dalam pelbagai cara dan ramuan. Biasanya terdapat dalam dua jenis iaitu bertangas kering dan basah. Bertangas kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ianya hanya menggunakan batu sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu. Rawatan ini dilakukan selepas hari ke-30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas telah kering . Rawatan ini dipercayai dapat mengeluarkan sisa toksin dan merawat luka. Jika selepas haid, boleh dilakukan selepas hari keenam, selama tiga ke tujuh hari.
Bertangas basah pula menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus. Untuk mereka yang berpantang bersalin, mulakan rawatan selepas hari ke-40 iaitu selepas tangas kering dan dilakukan sehingga 100 hari. Untuk selepas haid, dilakukan selepas darah kering juga. Amalan ini dipercayai dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit.
RawatanIa juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim. Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.
Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk untuk mengelakkan kecederaan ke dalam besen yang besar serta dicampurkan ramuan-ramuan herba yang telah dibersihkan seperti buah manjakani, asam keping, daun sirih, daun kunyit, halia merah, daun mengkudu, buah pala serta sedikit garam dan bermacam-macam lagi sumber asli yang kebanyakannya boleh didapati di dapur masing-masing.
Setelah dibiarkan beberapa minit, wanita yang akan menjalani rawatan bertangas akan masuk dan duduk di dalam besen tersebut supaya air campuran herba mengenai bahagian sulit mereka. Di samping itu, mereka boleh menggosok bahagian sulit dengan air campuran herba tersebut untuk kesan yang lebih baik.
Proses rawatan ini biasanya dilakukan dalam masa 20 hingga 30 minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sekerap dua kali sebulan atau seminggu sekali. Campuran herba tersebut dipercayai mengandungi banyak khasiat dan kelebihan tersendiri contohnya buah manjakani boleh mengetatkan faraj, daun sirih untuk menyembuhkan luka-luka kecil manakala buah pala dapat menghindarkan bau yang tidak menyenangkan pada alat sulit serta boleh memberi kesan yang maksimum kepada hubungan seksual pasangan suami isteri.
MurahSememangnya rawatan ini adalah mudah, murah dan boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa mengeluarkan belanja besar serta mengambil masa yang lama.
Namun wanita moden sekarang ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman ini yang boleh membawa kesejahteraan rumahtangga dan kesihatan serta kebersihan diri.
Sememangnya wanita tidak perlu risau melakukannya kerana kebanyakan spa yang terdapat di Malaysia ada menyediakan rawatan bertangas dengan cara yang sedikit berbeza malah lebih selesa iaitu diletakkan di dalam alat mandi wap kanvas dan diletakkan serbuk herba tersebut yang telah dikisar atau dimesin halus ke dalam periuk kukusan elektrik yang tersedia di dalam kanvas tersebut. Ia cepat dan mudah untuk digunakan. Proses rawatannya juga hanya 20 hingga 30 minit.
Justeru rawatan tradisional ini masih boleh diamalkan walaupun zaman sudah berubah. Sebagai wanita mungkin anda boleh mencubanya jika anda berkemampuan dan berkelapangan.

Rokok punca penyakit kronik

BERCERITA mengenai rokok, kita tentu terbayang banyak jenama rokok di pasaran memandangkan setiap negara mempunyai jenama sendiri.
Mengimbau iklan rokok Malboro Man - lelaki berpakaian koboi dengan sebatang rokok di tangan menunjukkan 'kehebatan'.
Tapi tidak ramai tahu tiga lelaki yang terlibat dalam iklan Malboro Man - Wayne McLaren, David McLean dan Dick Hammer meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
Budaya merokok dibawa ke Eropah pada abad ke-16, kemudian menjadi kebiasaan dalam kalangan bangsawan.
Di Amerika Syarikat pula, puak Red Indian merokok untuk acara pemujaan dan bukan menunjukkan kehebatan.
Walau untuk tujuan apa pun, hakikatnya merokok menimbulkan banyak masalah bukan saja dari segi kesihatan bahkan kehidupan sosial.
Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.
Daripada nikotin, tar, sianida, benzena, cadmium, metanol, asetilena, amonia, formaldehid, hidrogen sianida, arsenik sehinggalah karbon monoksida.
Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen iaitu pencetus kanser.
Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.
Aceton dan toluidine - yang juga terdapat dalam rokok pula biasanya digunakan masing-masing sebagai penanggal cat dan pelarut industri antaranya terdapat dalam pencuci lantai.
RoketMetanol pula terdapat dalam bahan api roket; napthalene adalah ubat gegat; DDT ubat pembunuh serangga manakala butane biasa digunakan dalam pemetik api.
Menurut Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju, kanser pertama kali dikaitkan dengan merokok pada 1964.
"Bagaimanapun mekanisme sebenar mengaitkan merokok dan kanser masih belum diketahui," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, nikotin dan tar yang terdapat dalam rokok adalah faktor yang mengganggu fungsi paru-paru.
Biasanya, apabila pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru, masanya sudah terlambat kerana penyakit telah sampai ke peringkat serius.
"Ubatnya mudah. Jauhi rokok, arak dan jaga pemakanan.
"Penyakit menjadi kronik jika seseorang itu merokok dan mengambil pula alkohol serta tidak menjaga pemakanan," kata Dr. Selvaraju yang masih sihat biarpun sudah berusia lebih 70 tahun. Mengikut anggaran, 20 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.
Tambah Dr. Selvaraju, semasa usia remajanya sekitar 1950-an amat sukar melihat orang menghisap rokok kerana ia bukan budaya Asia.
"Tetapi sekarang saya lihat kadangkala satu keluarga menghisap rokok," katanya kesal.
Dalam hal ini, beliau menyalahkan iklan sebagai penyebab remaja terdedah dengan budaya merokok.
"Biasanya perokok yang merokok lebih 15 tahun, kelihatan normal semasa ujian kesihatan kerana sel kanser tidak kelihatan.
Ini kerana apabila berlaku 'kesilapan' dalam badan, tubuh masih boleh bertahan sehingga 80 peratus.
"Selepas tahap itu, barulah badan bertindakbalas menyebabkan pengesanan terlewat," katanya.
Menurutnya, seorang pesakitnya yang pernah dinasihatkan agar berhenti merokok datang semula kepadanya selepas 15 tahun kerana batuk berpanjangan, kahak berdarah dan berat badan menyusut.
"Dia didiagnosis kanser paru-paru pada peringkat lewat.
"Tiada apa yang boleh dilakukan selain kemoterapi dan pembedahan di samping menjaga kesihatan kerana sistem badan tidak lagi berfungsi seperti biasa," katanya.
RadangDr. Selvaraju berkata, majoriti perokok menghidap radang paru-paru atau bronkitis menyebabkan sesak nafas dan batuk berpanjangan.
Apa yang menyedihkan, perokok pasif atau mereka yang tidak merokok tetapi dikelilingi perokok - juga boleh mendapat kanser kerana sering menghidu asap rokok.
"Sebenarnya lebih bahaya dikelilingi oleh perokok berbanding anda sendiri yang menjadi perokok," katanya.
Bagi perokok aktif, menurut beliau, kesannya akan dirasai mereka biasanya selepas 15 tahun. "Mereka akan terdedah kepada lebih 20 penyakit kronik yang terdiri daripada pelbagai jenis kanser antaranya pundi kencing, perut, usus dan rahim, mulut, esofagus, tekak, pankreas, payudara dan paru-paru.
"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," ujarnya.
Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.
Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala.

Majlis tilawah suburkan budaya minat baca al-Quran
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2012/06/03

MAJLIS Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 yang bermula esok hingga 8 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bharu, bakal mempertemukan 27 peserta terdiri daripada 14 qari dan 13 qariah mewakili 14 negeri.

Bagaimanapun tahun ini, johan menunggu qari dan qariah, tidak mengambil bahagian. Mereka ialah johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54, Amirahman Abas dari Negeri Sembilan dan Suraya Abu Hassan dari Johor.
Namun, bagi yang sentiasa mengikuti majlis dianjurkan setiap tahun itu, tetap ternanti-nanti untuk melihat peserta yang mewakili negeri masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 ini memperdengarkan bacaan mereka.
Persefahaman mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia. - Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 yang berlangsung lima hari akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sementara majlis penutup disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Tilawah kali ini bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ yang bertepatan dengan usaha kerajaan mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata dalam situasi masyarakat yang semakin alpa dengan tanggungjawab diamanahkan, menjadi kewajipan sesama muslim saling mengingati dan mempereratkan hubungan.

Katanya, jaringan yang mantap akan menghasilkan semangat persaudaraan unggul seterusnya memperkasakan ikatan perpaduan ummah yang disegani di mata dunia.
“Konsep persefahaman ini pencetus perpaduan yang bermula tatkala tautan hati bersemi. Persefahaman mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia.

“Kelestarian semangat ini dalam amalan kita seharian akan menjadi perisai daripada sebarang godaan atau hasutan yang cuba menggugat kestabilan serta keharmonian negara,” katanya.

Johan tilawah akan menerima piala iringan, wang tunai RM15,000, pakej menunaikan ibadat haji berserta cenderamata. Naib johan akan menerima wang tunai RM7,000, pakej menunaikan ibadat haji dan cenderamata.

Pemenang ketiga akan menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji dan cenderamata. Setiap peserta menerima hadiah sagu hati RM2,000 dan cenderamata.

Sempena berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52, pelbagai program dirancang antaranya kuiz, seminar Al-Quran bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor serta gerai pameran daripada jabatan kerajaan dan badan swasta.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun sebagai usaha berterusan kerajaan menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran serta memahami inti pati ajaran Islam supaya dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Majlis ini juga bakal mencungkil bakat dan keupayaan qari serta qariah yang boleh membaca al-Quran secara bertarannum mengikut kaedah dan disiplin qiraat al-Quran yang betul. Mereka akan mewakili negara pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Peringkat Antarabangsa.

Selain pertandingan yang diadakan di Malaysia, peserta juga akan mewakili Malaysia untuk pertandingan pada peringkat antarabangsa yang dianjurkan negara-negara Islam.

Orang ramai dijemput hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Baharu, untuk meraikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55. Majlis itu juga akan disiarkan secara langsung di TV1 dan boleh juga ditonton melalui Jakim.tv dengan melayari portal www.jakim.tv.

Tak kenal erti penat, bahaya


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KETIKA sebahagian besar warga kota masih lena diulit mimpi, masih ada golongan yang melilau mencari rezeki di luar tanpa mengenal erti penat lelah dan bahaya.
Pemandu teksi antara yang bersengkang mata dan bergadai nyawa mendepani segala risiko apabila keluar mengambil dan menurunkan sesiapa saja yang memerlukan perkhidmatan jalan ini.

Ada juga pemandu teksi mempersiapkan diri untuk memulakan tugas walaupun ketika itu matahari belum terbit dan keluar sejurus subuh bagi memulakan pencarian pendapatan setiap hari. Perkara ini menjadi kelaziman pemandu yang memilih untuk bertugas pada waktu siang.

Sememangnya kerjaya pemandu teksi menjanjikan pendapatan lumayan, tetapi ia menuntut pengorbanan masa yang lebih.


Begitu juga Mohd Fairuz Ahmad Jahari, 34, antara ribuan pemandu teksi di Lembah Klang yang terpaksa mengorbankan sebahagian tidurnya demi mencari sesuap nasi.

Katanya, rutin hariannya sebagai pemandu teksi membawa dan mengambil penumpang di laluan antara Kelana Jaya dan Bandar Utama.

“Saya bangun jam 5.30 pagi dan selepas solat Subuh, saya mempersiapkan diri dan anak. Pada jam 6.15 pagi pula saya keluar rumah untuk menghantar isteri ke tempat kerja serta dua anak ke sekolah dan rumah pengasuh,” katanya.

Fairuz berkata, selepas semuanya selesai, dia mula membawa teksi pada jam 7 pagi di kawasan berdekatan laluan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) untuk mencari penumpang yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Menurut Fairuz, dia berehat pada jam 1.15 tengah hari, menunaikan solat Zuhur sebelum melelapkan mata selama setengah jam supaya tidak mengantuk apabila membawa penumpang.

“Saya mencari pelanggan untuk beberapa jam dan pada jam 4 petang, tiba masa menunaikan tanggungjawab mengambil isteri dan anak dari tempat kerja dan sekolah serta rumah pengasuh.

“Setelah semua selesai, pada jam 5 petang kami sekeluarga tiba di rumah di Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway,” katanya menceritakan rutin harian bagi mencari nafkah buat isteri dan anaknya.

Pengalaman sama juga dialami Mohd Hashim Mohd Yatim, 53, yang menjadi pemandu teksi selama 28 tahun.

“Sebagai pemandu teksi, saya bebas menggunakan masa kerana tidak terikat, tetapi perlu berdisiplin, jika tak, tiada pendapatan.

“Kalau mahu mendapatkan sumber lebih, kita perlu kerja lebih, tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas,” katanya ketika ditemui di Terminal Putra Gombak, baru-baru ini.

Mohd Hashim berkata, dia tidak pernah merungut kerana terpaksa keluar awal pagi, malah jika tidak bekerja pun sudah terbiasa bangun awal.

“Seperti pemandu lain, saya keluar seawal jam 6.30 pagi kerana pada masa inilah pendapatan bermula. Isteri dan anak juga faham pekerjaan saya,” katanya yang tinggal di Sri Gombak Indah, Gombak.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial


Berjimat cermat jadi amalan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEBAGAI bekas pengurus syarikat korporat terkenal, Goh Miew Huat, 61, sebenarnya boleh bersenang-lenang pada usia emas dengan wang simpanan KWSP.
Namun sikap negatif seperti itu tiada dalam kamus hidup Goh, sebaliknya dia masih aktif bekerja selain menghabiskan masanya bersukan dan bersosial bersama rakan.

Bagi lelaki ini, bekerja selepas bersara bukan untuk mencari wang semata-mata tetapi lebih penting daripada itu masanya kini terisi dengan kerja berfaedah.

Menurut Goh, sebelum bersara pada 2006, dia sudah menetapkan untuk terus bekerja kerana berasakan harus ada simpanan mencukupi untuk tempoh 10 atau 20 tahun lagi, jika ditakdirkan umur panjang.


“Kebiasaannya, seseorang itu akan mengharapkan anak membalas jasa ibu bapa apabila sudah tua, tetapi saya tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Walaupun menempuh alam persaraan, karismanya dalam kerjaya menyebabkan dia diterima bekerja sebagai penasihat dalam pentadbiran yang menjadi bidang kepakarannya.

Menurutnya, perjalanan dilalui kini sama saja dengan zaman sebelum bersara kerana rutin hariannya tidak berubah, bahkan dia semakin bersemangat bekerja.

“Yang penting kini, kehidupan lebih seronok kerana ada ramai kenalan dan aktiviti tertentu yang dapat dilakukan berbanding sebelum ini.

“Kalau dulu, sibuk membesarkan anak dan mencari rezeki sebanyak-banyaknya. Kini saya sudah ada semua yang saya inginkan dalam hidup. Ada duit tabungan, anak berjaya dalam kerjaya, bahkan ada cucu yang comel.

“Bila ada waktu terluang, saya melancong bersama isteri, anak dan cucu. Oleh kerana saya suka melancong, boleh dikatakan hampir separuh benua sudah dijelajah,” katanya.

Mengimbau caranya menguruskan kewangan pada zaman muda, Goh berkata, sikap berjimat cermat menjadi amalannya sebagai bekalan pada hari tua.

“Sebaik melangkah kaki untuk kali pertama ke tempat kerja, perkara pertama yang saya fikir adalah bagaimana hendak menyimpan wang sebagai persiapan bersara.

“Sejak dulu saya mula menabung dan berbelanja secara sederhana atau mengikut kemampuan diri. Daripada gaji diperoleh, 15 peratus dimasukkan ke dalam tabung simpanan. Ia satu kemestian kerana setiap bulan jumlah simpanan itu bertambah,” katanya.

Selain itu, kata Goh, simpanan untuk tabung pendidikan anak pula dilakukan dengan berhemah, di samping turut menyimpan untuk insurans kesihatan dan insurans nyawa.

“Apabila memperoleh tiga anak, saya masukkan insurans pendidikan untuk setiap seorang daripada mereka bagi membantu meringankan beban apabila anak dewasa kelak.

“Seiring dengan aliran masa, anak membesar dan meningkat remaja dan mereka akhirnya diterima belajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Ternyata tabung pendidikan membantu ketiga-tiga anak saya apabila mereka tidak menghadapi masalah sepanjang mengikuti pengajian,” katanya.

Dia yang sentiasa ceria mengakui, ramai beranggapan usianya dalam lingkungan 50-an tetapi Goh menyatakan rahsianya kerana sering bermain golf dan joging sebagai aktiviti masa senggang.

“Selain itu, saya ada beberapa rakan akrab dan kumpulan kami sering bertemu setiap hujung minggu untuk menikmati sarapan pagi atau makan malam bersama.
Setiap bulan, saya menjalani rawatan kesihatan secara berkala.

“Tidak kurang pentingnya, urus tekanan dengan baik kerana semakin hari usia bertambah dan sebagai orang tua, kita harus bijak mengurus kewangan untuk menjamin hidup sempurna dan sentiasa sihat,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial



Rezeki tidak menentu

Oleh MOHD FIRDAUS SAHAT, MUHAMAD RAZIS ISMAIL dan MOHD NOR ASRI YAACOB
metahad@hmetro.com.my

ALA KADAR...makan tengah hari berlaukkan hasil tangkapan.
ALA KADAR...makan tengah hari berlaukkan hasil tangkapan.
IBARAT kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah nasib sebilangan besar nelayan pesisir pantai dalam menyara diri dan keluarga.
Rezeki yang dicari tidak menentu. Bertarung nyawa di lautan demi mencari sesuap nasi namun jarang memberikan habuan besar kepada nelayan kecil ini.
   
  • Foto DAIF...keadaan rumah Iqbal
  • Foto SEDIKIT...hasil tangkapan tak seberapa.
  • Foto SEDIA...bersiap untuk ke laut.
Keadaan cuaca, kekurangan peralatan menangkap ikan, faktor kesihatan dan gangguan pelbagai bot besar yang menangkap ikan di kawasan pantai sedikit sebanyak menambah beban untuk mereka mencari rezeki.

“Macam inilah hidup sebagai nelayan. Jarang saya mendapat tangkapan besar.

Kebiasaannya hasil tangkapan menjadi santapan kami anak-beranak,” kata Mohd Iqbal Ismail, 48.
Menurut Iqbal yang berasal dari Kampung Kemayang, Bachok, pendapatan sebagai nelayan pesisir pantai tidak mewah seperti kebanyakan nelayan lain, terutama nelayan laut dalam.

“Kami tidak sama. Jika nelayan laut dalam, kelengkapan mereka banyak dan berteknologi tinggi selain mempunyai bot besar untuk mencari ikan di tengah laut.

“Bagi kami pula, bot kecil dan pukat yang tidak seberapa serta terpaksa akur dengan pergerakan cuaca sedikit sebanyak membataskan rezeki diperoleh,” katanya.

Penulis yang berkesempatan menjadi ‘anak angkat’ dan turun ke laut bersama Iqbal turut merasai apa diperkatakannya. Hari pertama bersamanya menangkap ikan, bot kecil jenis fiber yang kami naiki dilambung ombak besar dek cuaca buruk.

Kerana laut bergelora, Iqbal membatalkan niat untuk meneruskan tangkapan walaupun ketika itu hanya dua ekor ikan diperoleh.

Menurutnya, bukan dia saja yang membatalkan aktiviti menangkap ikan, malah kebanyakan nelayan kecil pasti akur dengan keadaan cuaca terbabit.

Buktinya, berpuluh bot kecil yang sinonim dengan nelayan pesisir pantai kelihatan berduyun pulang ke jeti kampung berkenaan.

Hari kedua, penulis sekali lagi mengikut Iqbal ke laut. Kami berangkat seawal jam 4 pagi. Namun, meskipun cuaca elok, nasib pada hari itu masih tidak menyebelahi kami.

Sepanjang lapan jam beradu nasib di lautan, kami hanya mampu menangkap lima ekor ikan pelbagai jenis.

“Tangkapan sebanyak ini mana boleh dijual kepada peraih. Sudahlah kuantiti sedikit, jika dijual juga, hanya dapat beberapa ringgit. Nak tak nak, inilah lauk kita hari ini,” katanya.

Kepayahan sepanjang hari di lautan seakan-akan tidak terbalas. Namun daripada riak wajah Iqbal, tiada apa perlu dikesalkan. Rezeki seperti itu seakan-akan lali dengannya, lebih-lebih lagi sejak 20 tahun menjadi nelayan.

“Keadaan seperti ini pernah berlanjutan sehingga dua tiga minggu. Sampaikan tiada tangkapan untuk dijual kepada peraih. Bila jadi macam ini, saya tidak berduit untuk membeli minyak diesel untuk ke laut atau membeli makanan. Nak tak nak, perlu berhutang dengan rakan atau saudara,” katanya.

Rezeki tidak menentu seperti itu tidak berlaku terhadap Mohd Iqbal saja, malah boleh dikatakan menghantui hampir keseluruhan nelayan pesisir pantai di Pantai Timur.

Kampung Kemayang misalnya mempunyai hampir 400 keluarga yang majoritinya bekerja sebagai nelayan pesisir pantai. Rata-rata turut dibelenggu masalah sama dan kebanyakannya hidup di bawah garis kemiskinan.

Menurutnya, rezeki sebagai nelayan pesisir pantai sekadar cukup makan, malah memang payah untuk mendapatkan pulangan lumayan iaitu RM40 hingga RM50 sehari.

“Itu adalah jumlah yang biasa diperoleh jika rezeki pada hari itu sangat baik.
Namun, bukan hari-hari boleh dapat pulangan sebanyak itu. Jika musim tengkujuh, nelayan kecil seperti saya tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.

“Pernah beberapa kali, saya mendapat tangkapan bernilai RM100 hingga RM150.
Namun dalam sebulan, sekali pun payah. Jika dapat, ia benar-benar rezeki dan boleh dikira sangat bernasib baik,” katanya.

Selain keadaan cuaca, faktor kemiskinan yang menghantui hidup dan gangguan bot pukat tunda yang menangkap ikan di kawasan pesisir pantai turut mengganggu aktiviti dan rezeki mereka sebagai nelayan kecil.

“Pukat selalu rosak. Enjin sangkut yang disewa bersama bot juga sering rosak.
Mahu beli baru, kosnya tinggi. Mahu atau tidak, perlu menyewa daripada pemilik bot lain. Mengikut perjanjian, jika tiada wang untuk membayar sewa, hasil tangkapan perlu dikongsi dengan pemilik bot terbabit sebagai bayaran sewa.

“Namun, bukan hari-hari saya dapat tangkapan yang banyak. Jika tiada tangkapan atau tangkapan terlalu sedikit, saya tidak dapat membayar ‘sewa’ itu.

“Selain itu, gangguan bot pukat tunda yang memasuki kawasan pesisir pantai menjadi faktor mengapa nelayan kecil seperti saya kurang mendapat tangkapan.

“Walaupun berpuluh aduan dilakukan, mereka masih galak dan bebas menjalankan aktiviti terbabit dan kesannya, nelayan kecil seperti saya yang merana,” katanya.

Sebagai nelayan, Iqbal tidak terlepas mengalami pengalaman menakutkan di tengah laut.

“Pernah saya keluar ke laut seawal jam 4 pagi. Sehingga jam 11 pagi, tidak ada
seekor ikan pun sangkut pada pukat. Namun, saya tidak mahu berputus asa dan meneruskan aktiviti menangkap ikan.

“Sedar-sedar, jam menunjukkan 5 petang. Selepas menarik pukat ke dalam bot, saya cuba menghidupkan enjin untuk pulang. Entah kenapa, tiba-tiba enjin rosak tanpa sebab dan saya tidak berupaya pulang,” katanya.

Menurutnya, meskipun aktiviti menangkap ikan oleh nelayan pesisir pantai terhad iaitu sekitar lima batu nautika dari kawasan pantai, namun kerana ombak besar, bot kecil miliknya dihanyutkan ke tengah laut pada hari itu.

“Di tengah laut, talian telefon tidak berfungsi. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat pertolongan adalah dengan meminta bantuan nelayan lain yang berdekatan.

“Begitupun, bila dihanyutkan ombak, saya tidak tahu di mana saya berada ketika itu. Malah, tiada satu bot kelihatan di kiri dan kanan.

“Nak tak nak, terpaksa akur dengan dugaan, bersabar dan menanti hari siang untuk meminta pertolongan nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran,” katanya.

Khamis, 6 Oktober 2011

Cabaran urus sisa pepejal

Cabaran urus sisa pepejal


PENJANAAN sisa pepejal di negara ini semakin meningkat dan banyak pihak kini sedang memikirkan cara terbaik untuk mengendalikannya.


KADAR penjanaan sisa pepejal negara ketika ini sudah mencecah 27,000 tan sehari. Isunya adalah: adakah kemungkinan besar sasaran yang dibuat sebelum ini iaitu 30,000 tan sisa pepejal sehari menjelang tahun 2020, bakal menginjak kepada angka baharu berdasarkan kepada laporan terkini itu?
Kedua, adakah tapak pelupusan sisa pepejal negara mencukupi untuk menampung penambahan itu? Dari satu sudut, mungkin segelintir daripada kita melihat isu ini tidak mempunyai nilai kepentingan dalam ekonomi negara.
Bagi mereka, hanya aktiviti berelemenkan pertumbuhan ekonomi dan kepesatan teknologi yang perlu diambil perhatian dalam mencapai status negara maju.
Hakikatnya, setiap aktiviti industri mahupun kegunaan domestik yang dilakukan oleh setiap daripada kita sebenarnya penyumbang kepada penambahan penjanaan sisa pepejal negara.
Apatah lagi dengan penambahan populasi penduduk negara ini, yang mencecah kepada 28.3 juta orang berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, sekali gus meningkatkan lagi kadar penjanaan sisa pepejal.
Namun, masih ramai mempunyai persepsi bahawa urusan sisa pepejal tiada kaitan dengan mereka, walhal kita juga sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi membantu mengurangkannya menerusi kaedah mengitar semula. Mengapa senario ini berlaku?
Kitar semula

SEJAUH manakah rakyat di negara ini mengamalkan konsep kitar semula bermula di kediaman masing-masing?


Sudah hampir 12 tahun lamanya program kitar semula kebangsaan dilancarkan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun, amat menyedihkan apabila dilaporkan kadar kitar semula di negara ini hanyalah pada kadar lima peratus. Jika dibandingkan dengan negara maju, kita memang jauh ketinggalan. Jerman sahaja sudah mencecah sebanyak 74 peratus penglibatan program kitar semula, Belgium (71), Austria (67) dan Belanda (66). Di manakah silapnya?
“Mungkin faktor terpaksa mencari tempat mengitar semula dan menghantar sendiri sisa pepejal yang diasingkan itu, menyebabkan program kitar semula tidak begitu menambat hati masyarakat.
“Ditambah pula dengan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan kitar semula lantas menyebabkan mereka lebih gemar untuk mencampuradukkan pelbagai jenis komposisi sampah dalam satu tong,” kata Nadzri.
Atas faktor itu, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilaksanakan bermula 1 September lalu dilihat berpotensi besar mendidik orang ramai mengamalkan sikap kitar semula.
Akta itu mewajibkan orang ramai mengasingkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula dan mereka yang tidak berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang.
Biarpun akta itu diwartakan pada tahun 2007 dan hanya dapat dilaksanakan bermula 1 September lalu, itu bukanlah perkara pokok yang perlu diambil perhatian.
Lebih utama, ia perlu dilihat sebagai pembuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa pepejal negara. Ia sekali gus dijangka dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengurangkan jumlah kutipan sampah ke tapak pelupusan.
Penguatkuasaan

DALAM pelaksanaan sistem akan datang, penggunaan lori kutipan sisa pepejal akan diperkenalkan selain menyediakan lori berlainan untuk memungut sampah yang boleh dikitar semula.


Menerusi pelaksanaan akta ini, barulah kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT dengan sepenuhnya.
“Ia secara berfasa. Bagi fasa pertama, pihak konsesi akan mula mengagihkan tong sampah berukuran 120 liter kepada seluruh kawasan perumahan secara percuma di semua ibu negeri kecuali di negeri-negeri yang memilih untuk tidak melaksanakan penswastaan penuh (Selangor, Perak, Pulau Pinang) sehinggalah 1 September tahun depan.
"Selepas setahun kemudian, proses agihan tong sampah itu akan diberikan pula di seluruh majlis perbandaran dan majlis daerah. Tong sampah ini akan digunakan untuk membuang hanya barang-barang yang tidak boleh dikitar semula seperti lampin pakai buang dan sisa makanan.
“Bagi barang-barang seperti kaca, botol, kertas, pengguna haruslah mengasingkannya dan tidak mencampurkan sekali dalam tong sampah tersebut,” katanya.
Selaras dengan itu, jadual kutipan sampah juga akan diubah kepada sistem 2+1 iaitu dua hari untuk mengutip sampah organik manakala satu hari diguna untuk mengutip sampah yang boleh dikitar semula.
Mengenai perbezaan lain hasil daripada penswastaan ini, Nadzri menambah: “Ada beza. Sekarang (sampah) dikutip tidak ikut peraturan, tidak ikut jadual, lori meleleh air larut resap (leachate).
“Tetapi, melalui sistem baharu nanti, anda akan dapat melihat perbezaan iaitu tiada air leachate meleleh keluar kerana menggunakan lori baharu dan kutipan sampah diasingkan antara yang boleh dikitar dan yang sebaliknya”.
Menariknya, sistem penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) akan dilaksanakan kepada tiga syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan, Alam Flora Sdn. Bhd. di zon tengah, Southern Waste Management Sdn. Bhd. di zon selatan dan Environment Idaman Sdn. Bhd. di zon utara Semenanjung.
Bakal dipantau oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) secara berterusan, ia bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awal diuruskan dengan teratur dan sistematik.
Memandangkan kadar pencapaian kitar semula negara ini agak rendah, penguatkuasaan akta itu akan memperuntukkan tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada rakyat membiasakan diri dengan program itu sebelum tindakan diambil.
Sudah tiba masanya, bagi semua masyarakat sedar akan kepentingan penglibatan mereka dalam pengurusan sisa pepejal negara. Tanpa kesedaran ini, sudah tentu agak sukar bagi Malaysia mencapai status negara maju.
– Bernama